Suara ‘langsuir’ dekat kubur

KOTA BHARU: Kawasan berhampiran tanah perkuburan Kampung Sungai Keladi dekat sini menjadi tumpuan orang ramai sejak tiga minggu lalu, berikutan dakwaan penduduk mendengar suara langsuir merintih serta mengilai di kawasan itu.

Malah, ada pihak turut mengambil kesempatan menjalankan perniagaan minuman dan makanan ringan di sekitar kawasan itu terutama pada malam minggu.

Difahamkan, kira-kira 150 pengunjung ke kawasan terbabit setiap malam sehingga menimbulkan suasana bising di kawasan perkuburan itu terutama apabila sebahagian besarnya adalah kumpulan bermotosikal.

Bagaimanapun, suara yang dinantikan orang ramai yang ‘berkampung’ di situ sejak seminggu lalu tidak kedengaran menyebabkan sebahagiannya pulang hampa.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan berkenaan malam kelmarin, mendapati ada pengunjung yang merakamkan gambar sekitar kubur dan berharap dapat mendengar suara hilaian seperti yang didakwa.

Seorang pengunjung, Azman Jusoh, 26, berkata dia dan tiga rakan dari Melor, dekat sini, ke kampung itu semata-mata mahu mendengar sendiri suara misteri seperti yang dihebohkan.

“Banyak cerita saya dengar mengenai suara perempuan mengilai dan menangis. Rakan saya juga heboh menceritakan kejadian ini. Jadi, saya cuma nak pastikan kebenarannya.

“Tak tahulah… mungkin betul agaknya. Sebab itu ramai orang datang ke sini,â€? katanya.

Sebelum ini, penduduk di Kampung Sungai Keladi itu gempar selepas mendakwa terdengar suara wanita merintih dan mengilai menjelang tengah malam sehingga Subuh menyebabkan ada penduduk mendakwa suara itu adalah suara daripada seekor hantu langsuir yang sedang sakit.

Mereka mendakwa ada penduduk yang ‘membela’ langsuir itu tetapi sudah tidak sanggup memberinya ‘makan’ dan ingin melepaskannya sehingga mengganggu penduduk kampung di situ.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man berusia 20-an mendakwa, suara nyaring itu dapat didengari dengan jelas bermula jam 12 tengah malam kira-kira tiga minggu lalu sehinggalah ia perlahan-lahan hilang menjelang Subuh.

Menurutnya, seorang wanita yang tinggal berhampiran tanah perkuburan di kampung itu mendakwa pernah mendengar suara mengilai di atas bumbung rumahnya, kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, wanita terbabit mendakwa terdengar bunyi seperti ada sesuatu yang merangkak di atas bumbung rumah.

“Wanita itu mendakwa hilaian suara yang didakwa langsuir itu mengganggu dia sekeluarga sehingga ada anak-anaknya demam kerana terlalu takut,� katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata umat Islam perlu merujuk kepada golongan ulama dan imam di kawasan mereka mengenai sesuatu perkara berkaitan makhluk halus.

“Makhluk halus memang wujud dan boleh menjelma dalam pelbagai bentuk. Tetapi, sebagai manusia, kita jangan taksub dan panik kerana ia menunjukkan kita sendiri seperti memberi pengiktirafan kepadanya.

“Sepatutnya, masyarakat tidak cepat percaya apa saja yang berlaku sebab mungkin juga ia hanya rekaan pihak tertentu. Sebaliknya, selidik perkara itu terlebih dulu dan rujuk kepada imam dan ustaz di tempat mereka,� katanya.

Tinggalkan jawapan